Kepada bakal suamiku yang dicintai
Kita bakal hidup bersama tidak lama lagi. Jadi, ada beberapa perkara yang aku harus perjelaskan kepadamu agar kau lebih memahami aku. Pertama sekali, aku bukanlah satu-satunya pilihan yang kamu ada. Aku tidak pernah memandang diriku sebagai pilihan terbaik untuk dirimu. Yang aku tahu cuma satu. Aku akan berusaha memahami dirimu yang bakal kukenali lebih dekat apabila hidup sebumbung nanti, dan aku akan cuba menjadi isteri yang taat dan solehah, di bawah bimbinganmu.
Aku juga tahu kamu bukanlah yang paling sempurna dalam kalangan lelaki yang aku pernah kenali. Namun kau harus tahu mengapa dirimu yang aku pilih. Aku tidak mengangkat engkau sebagai yang terbaik semasa aku memilihmu. Sebaliknya, aku merasakan dirimu berpotensi untuk membimbing aku ke jalan yang lebih baik . Aku berdoa agar dirimu sentiasa diberi kekuatan hati , kesabaran yang tinggi untuk membimbing aku serta mengharapkan dirimu akan berubah ke arah yang lebih baik .Aku yakin ALLAH mendengar doaku.
Bakal suamiku yang dikasihi, aku anak sulung yang menjadi harapan keluarga sebelum aku berjumpa dengan kamu, dan aku harap keadaan itu tidak akan berubah setelah aku jadi teman hidupmu. Maka aku berharap akan kekal rapat dengan keluargaku sehingga aku mati. Janganlah disekat aku berjumpa dengan mereka, sebagaimana aku sentiasa akan memberi ruang untuk kamu dekat dengan keluargamu. Janganlah dizalimi aku dengan menggunakan kuasa vetomu untuk mengawal pergerakanku, sehingga aku tidak dibenarkan berjumpa ahli keluargaku.
Sebagai wanita moden, aku tidak akan mengharapkan huluran wang berlebih lebihan daripadamu kerana aku punya gaji hasil titik peluhku untuk aku berbelanja memanjakan diriku. Cukuplah nafkah sekadar cukup, tidak bermewah-mewah sehingga merosakkan diriku menjadi riak dan takbur. Maka aku harapkan kamu juga bertolak ansur sekiranya aku membelanjakan wang gajiku untuk menggembirakan hati ibu bapaku dan keluargaku . Kita masing-masing punya tanggungjawab kepada ibu bapa, walau tidak wajib bagiku sebagai anak perempuan .
Akhir sekali, aku sedar akan perangaiku yang keras kepala dan sering bercanggah pendapat denganmu. Aku amat menghargai kesabaranmu setiap kali kita bertelagah, dan masih juga kamu mahu mengambil aku sebagai isteri. Antara kita memang terdapat banyak perbezaan, lebih-lebih lagi kerana jurang usia yang besar. Namun janganlah kiranya kesabaran itu hilang selepas akad nikah kelak, kerana sejauh mana usia kita berbeza, selama itulah masa yang aku perlu untuk mencapai tahap kematanganmu.
Aku adalah rusukmu yang bengkok, maka luruskanlah aku dengan kasih sayang. Janganlah kamu tinggikan suaramu , memanggil aku dengan nama bukan-bukan mahupun mengasariku .Aku tidak diciptakan dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk dijunjung, tapi dekat di bahu untuk dilindung, dekat pula di hati untuk dikasihi. Maka kasihilah aku dan terimalah aku seadanya.
bakal zaujah hidupmu



1 comments:
salam ziarah cik khurus! CJM follow sini! (follower ke 35!) jemput follow blog CJM jugak tau! :) http://cik-jarimanis.blogspot.com/
Post a Comment